Sejarah Sekolah

SEJARAH  SEKOLAH

Sekolah  Kebangsaan Agama Majlis Islam Sarawak Bintulu yang pada suatu ketika dahulunya dinamakan Sekolah Rendah Bantuan Agama, Majlis Islam Sarawak Bintulu,  ditubuhkan pada 2 Disember 1992 dengan seramai  4 orang tenaga pengajar (1 orang guru lelaki dan 3 orang guru perempuan)  dan 50 orang murid yang telah menjadi pelopornya.

Di awal penubuhannya, SK (A) Majlis Islam Sarawak, Bintulu belum mempunyai bangunan sendiri.  Bermula dari 02 Disember 1992 hingga penghujung tahun  1994, sekolah ini telah menumpang di bangunan bekas Pusat Latihan Lembaga Kemajuan Bintulu yang terletak di tengah-tengah bandar Bintulu.  Bangunan ini hanya mampu menampung 4 buah bilik darjah, bilik guru, bilik guru besar, bilik setor, dua buah tandas dan bilik dapur itupun setelah diubahsuai.

Disebabkan pertambahan murid semakin meningkat setiap tahun maka pihak PIBG dengan kerjasama pihak  JAIS Bahagian Bintulu telah meminjam sebidang tapak tanah daripada Lembaga Kemajuan Bintulu yang berada di Kampung Assyakirin untuk mendirikan bangunan sementara menanti bangunan tetap SK (A) Majlis Islam Sarawak, Bintulu siap dibina.  Segala perbelanjaan untuk mendirikan sekolah ini telah dikeluarkan oleh pihak JAIS Pusat (Kuching) dan tender telah dikeluarkan oleh pihak Lembaga Kemajuan Bintulu.

Bangunan sementara yang bertempat di Kampung Assyakirin mempunyai 6 buah bilik darjah, sebuah Pejabat Guru/Am, dua buah tandas dan sebuah rumah pekerja.  Bangunan ini mula digunakan  pada penggal persekolahan 1995 hingga 30 Julai 1997.  Disamping itu, penambahan bangunan juga telah dilakukan untuk menampung pertambahan pelajar pada penghujung tahun 1995.

Pada 01 Ogos 1997, dengan rasminya SK (A) Majlis Islam Sarawak, Bintulu menduduki bangunan tetap di atas bukit bersebelahan dengan Masjid Assyakirin, Jalan Tanjung Kidurong dengan keluasan tapak 9.93 ekar.  Dianggarkan kos berjumlah 3.7 juta ringgit yang mempunyai 23 buah bilik darjah, sebuah Makmal Bahasa, sebuah Makmal Komputer, sebuah Bilik Tayangan/Syarahan, sebuah Pusat Sumber, sebuah bilik Makmal Sains, sebuah Bilik Kemahiran Hidup, sebuah Bilik Muzik, Pejabat Guru, Pejabat Guru Besar, Pejabat Am, Bilik Penolong Kanan, Tandas Guru dan Murid serta sebuah Dewan Perhimpunan.

Sepanjang 5 tahun penubuhan SK (A) Majlis Islam Sarawak, Bintulu (1993 -1997) pelbagai pencapaian dari segi kurikulum dan kokurikulum telah  dicapai oleh pelajar-pelajar sekolah ini.  Dalam Ujian Penilaian Tahap Satu (PTS) yang julung kali nya diadakan pada tahun 1996, seramai 8 orang pelajar telah terpilih melangkau kelas ke Tahun 5. Pencapaian ini adalah pencapaian tertinggi peringkat Negeri Sarawak. 48 orang calon pertama menduduki UPSR ialah pada tahun 1998 dengan keputusan 100% lulus dengan 21 orang mendapat 5A.

Dalam bidang kokurikulum pula, pelajar telah menonjolkan bakat masing-masing dalam pelbagai aktiviti yang diceburi seperti tadarus Al-Quran, nasyid, bercerita, mendeklamasi sajak, badminton, bola sepak dan sebagainya.  Penampilan pelajar amat memberangsangkan sehingga ada di kalangan mereka dapat mewakili Bahagian Bintulu.

Sehingga kini, SK (A) Majlis Islam Sarawak,  Bintulu telah diterajui oleh 5 orang Guru Besar iaitu En. Liakat Ali Khan (03 Mac 1994 – 03 November 1996), Pn. Norjanah binti Abdullah (04 November 1996 – 16 Januari 1998),  Pn. Isah @ Aishah binti Hj. Saberi (16 Januari 1998 – 05 April 2007), En. Su’ut bin Tahir (18 Jun 2007 – 14 Disember 2017)  dan sekarang diterajui oleh Hjh Dayang Latifah binti Hj Awang Sam mulai 16 April 2018.